7 Tips Untuk Memancing Di Kawasan Air Tawar

Ramai berpendapat bahawa memancing merupakan salah satu aktiviti rekreasi yang  amat menyeronokkan dan lebih-lebih lagi apabila ikan menarik umpan. Sungguhpun begitu, aktiviti pancing ini juga boleh bertukar menjadi aktiviti yang paling membosankan tatkala ada yang tidak langsung mendapat ikan walaupun seharian di lapangan pancing. Oleh itu, perlulah luangkan sedikit masa dan tenaga untuk menelaah serta mengkaji lokasi-lokasi pilihan terbaik  sebelum memulakan aktiviti pancing anda. Selain daripada pemilihan lokasi pancingan,  kemahiran serta penggunaan teknik yang betul menjadi pemangkin untuk memujuk ikan sasaran. Berikut adalah 7 tips yang mungkin dapat membantu anda dalam pemancingan di kawasan air tawar. 

1. PUSARAN AIR –  Untuk memancing di kawasan tasik atau sungai boleh  pergi di mana air bertukar dari cetek ke dalam yang mengakibatkan aliran sungai mengalir berputar membentuk pusaran. Ikan suka berkumpul dan mencari makanan di kawasan ini.

2. PEMILIHAN GEWANG – Gewang yang berkilat boleh menarik perhatian ikan tertentu, akan tetapi pantulan cahaya matahari boleh membuatkan ikan tidak nampak sekali gus boleh menyebabkan kekeliruan.

3. SPOT TERTENTU – Mencari kawasan yang berlumut / bersamai / bereba / berbatu adalah lebih sesuai kerana anak-anak ikan lebih suka berenang di kawasan begini dan ia memudahkan pemangsa untuk memburu makanan.

4. SELEKOH BERPOKOK / SUNGAI – Kawasan selekoh sungai yang berpokok menghasilkan suasana yang redup dan suka berlindung daripada terkena cahaya matahari.

5. KENALI SIKAP IKAN – Berikan tumpuan kepada pergerakan tali pancing dan belajar bagaimana untuk memahami perbezaan antara sikap ikan yang sekadar ingin tahu mengikuti umpan anda dan ikan yang akan memakan umpan anda.

6. ULANGKAJI – Lakukan penyelidikan dikawasan yang ingin anda pergi memancing dan jenis ikan sasaran supaya lebih memahami keadaan semasa memancing. 

7. BERSABAR – Kesabaran yang tinggi merupakan tips yang paling berkesan pada mana-mana proses penangkapan ikan.

Secara kesimpulannya, pemancingan yang baik itu adalah bermula daripada keinginan yang mendalam. Dengan adanya keinginan dan kemahuan yang tinggi segala ilmu pancing  yang dicari dapat diperoleh dengan mudah dan sekali gus membantu untuk pergi lebih jauh dalam dunia memancing.