SI JANGGUT PERANG PERAIRAN ROMPIN / TIOMAN

April hingga September setiap tahun merupakan musim mencandat sotong. Kebiasaanya perairan Terengganu menjadi tumpuan buat pemancing dan mereka yang ingin merasa tarikan sotong.Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, perairan Rompin/Tioman dilihat turut berpotensi sebagai lokasi mencandat sotong. Bot memancing MZ Layaran telah mengambil initiatif untuk mengkomersilkan mencandat sotong di Kuala Rompin.

Bahana Covid -19 sedikit sebanyak menjejaskan perancangan dan trip memancing kami tahun ini. Sebaik sahaja tamat tempoh PKP dan memancing rekreasi dibenarkan, bot-bot pancing di perairan Rompin diserbu para pemancing. Kami bernasib baik kerana sahabat tekong kami telah mengosongkan satu tarikh hujung minggu untuk kami merasai sendiri pengalaman memancing sotong di perairan Rompin/ Tioman. Seperi biasa, bot MZ Layaran II yang dikemudi oleh tekong berpengalaman iaitu Krel Nazeri menjadi pilihan kami.

Betolak pada jam 12 tengahari, kami memulakan aktiviti memancing secara santai dan berhenti di lubuk-lubuk yang berpotensi dalam perjalanan ke arah Pulau Tioman untuk mencandat sotong pada lewat petang. Sepanjang sesi pancingan di siang hari, kami dihidangkan dengan angin Selatan dan Tenggara yang membuatkan keadaan laut agak bergelora. Keadaan arus yang sangat perlahan membuatkan ikan kurang aktif untuk meligan jig yang kami hulurkan.

Kami menukar kaedah pancingan menggunakan umpan hidup secara menghanyut dan dasar. Ikan selar dan kembung yang diperoleh menggunakan apollo di kawasan unjam dipertaruhkan sebagai umpan. Hasilnya, beberapa ekor tenggiri dan haruan tasik berjaya di tewaskan

Jam 5 petang kami mula bergerak ke arah lubuk mencandat berhampiran pulau tioman, perjalanan dari lokasi pancingan ikan kami mengambil masa satu jam. Masing-masing menggunakan ruang masa yang ada untuk berehat sebagai persediaan bersengkang mata untuk sesi mencandat sotong pada malam hari nanti.

Untuk trip kali ini, kami berpeluang untuk menguji joran baru keluaran Ajiking iaitu Ajiking Mabang. Rod ini direka dan dihasilkan khas untuk memancing sotong samaada di atas bot mahupun dari tebing. Terdapat beberapa pilihan variasi mengikut kesesuaian dan lokasi pancingan iaitu dari 7 hingga 8.3 kaki panjang dan PE dari 0.8 hingga 3.0. Untuk mencandat sepanjang malam, gandingan rod dan kekili yang bersesuaian perlu dititik beratkan. Kami menggunakan kekili Ajiking Wahoo LG bersaiz 3000 dan 3500 berganding dengan Ajiking Mabang kerana kekili ini sangat ringan serta mempunyai keupayaan yang mengkagumkan.

Terdapat pelbagai jenis candat udang terdapat di pasaran. Kami memilih untuk menggunakan candat dari jenama Bakau. Menariknya tentang candat keluaran Bakau, pelbagai variasi tersedia dari segi warna, size, bentuk dan berat yang membolehkan kami membuat pilihan serta menguji keupayaanya kerana mencandat sotong secara rekreasi di perairan ini masih baru dan tiada pilihan candat tertentu seperti di Terengganu misalnya. Untuk trip kali ini, TCE Tackles Malaysia turut menyumbangkan candat keluaran Bakau di antaranya Batik Squid, Candat Mayat, Buntar S, Hanta Egi, Masuta Egi dan Squid Hunter.

Mencandat sotong di perairan ini tidak banyak bezanya dengan di perairan Terengganu, kami menggunakan perambut apollo yang diikat dengan 3 variasi candat yang berbeza jenis dan warna. Sedang rakan lain sibuk membuat persiapan mencandat, rakan kami Azmer yang terlebih dahulu menghulurkan candatnya berjaya menaikkan sotong bersaiz sederhana. Tidak keruan rakan-rakan lain dibuatnya bila beliau mula menaikkan sotong sebaik sahaja umpan sampai ke dasar.

Walaupun fajar baru sahaja hendak melabuhkan tirainya, kami telah silih berganti menaikkan sotong. Shuhairin yang mencandat di bahagian hadapan bot berulang kali berjaya menaikkan 2 ekor sotong sekaligus menggunakan candat Buntar S dan candat Squid Hunter. Kami tidak menyangka sotong di perairan ini sangat banyak dan keadaan menjadi semakin mudah apabila sotong di sini sangat menggemari candat keluaran Bakau. Ini terbukti dengan beberapa rakan kami yang menggunakan candat jenama lain agak lambat mendapatkan hasil berbanding kami.

Hari semakin gelap, 8 lampu LED dengan kekuatan 200w setiap satu dihidupkan dan dihalakan kea rah air untuk menarik perhatian sotong mendekati bot kami. Angin selatan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, keadaan laut semakin bergelora sedikit sebanyak menggangu rentak kami dalam mencandat. Kami terpaksa menggunakan batu ladung yang lebih berat agar candat tidak dhanyutkan arus. Namun ianya tidak mematahkan semangat kami untuk terus bertahan dan menikmati keseronokan menaikkan sotong.

Jam 9 malam, keadaan angin dan gelora semakin kuat diselangi hujan gerimis, sebahagian besar dari kami tidak berupaya bertahan di tambah lagi dengan bau petrol dari generator yang dipasang untuk menampung jumlah lampu yang banyak. Hanya tinggal tekong, saya dan Shuhairin yang masih bertahan dan meneruskan perjuangan. Bila keadaan semakin gelap, candat yang mempunyai seluruh badan ‘glow in the dark’ seperti Bakau Buntar S menjadi kegilaan sotong. Tanpa perlu menunggu lama pasti ada sotong yang akan menyambar.

Pada malam tersebut, kami berkongsi rezeki dengan sekumpulan ikan lumba-lumba yang turut kenduri sotong di sekeliling bot kami. Tidak kurang 6-8 ekor ikan lumba-lumba turut memburu sotong sebagai santapan mereka. Di perairan ini, terdapat 3 jenis sotong yang dikenalpasti iaitu sotong torak, sotong jarum dan sotong ketupat.Kebanyakan dari kami berjaya menaikkan sotong torak dan sotong ketupat.

Badan kami semakin letih, bayangkan lah tidak berhenti mencandat dari petang hingga jam menunjukkan 4 pagi. Arus semakin laju, batu ladung bersaiz 13 hanyut begitu sahaja. Kami memutuskan untuk berhenti dan berehat. Tidak ada apa mampu dilakukan kerana apabila arus sangat laju, kebarangkalian untuk mendapatkan sotong juga amat sukar kerana candat hanyut jauh dari kawasan bawah bot yang diterangi cahaya lampu.

Masing- masing mengambil kesempatan untuk melepaskan lelah dan melelapkan mata sementara menunggu mentari muncul di pagi hari. Sebaik sahaja langit menjadi terang, kami bergerak menuju pulang sambil singgah di beberapa unjam untuk mencari ikan kecil untuk dijadikan lauk seperti kembong, selar dan tamban.

Walaupun ramai yang kecundang di pertengahan waktu mencandat, namun kami masih mampu untuk membawa pulang 80kg sotong. Ternyata perairan Rompin/Tioman sangat berpotensi sebagai destinasi mencandat yang popular seperti di Terengganu.

Kesimpulannya, joran Ajiking Mabang yang kami gandingkan dengan kekili Ajiking Wahoo LG benar-benar membantu kami mencandat dan menaikkan sotong dengan mudah dan effisyen. Di tambah lagi dengan candat-candat keluaran Bakau sangat digemari oleh sotong menatijahkan kami memperolehi hasil yang lumayan. Pasti nya kami akan kembali musim hadapan untuk mencandat di sini.